Friday 20 July 2012

Kepentingan alam sekitar




1.0 PENGENALAN.
Hutan boleh ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan serta serangga yang saling hidup dengan beraneka cara dengan meliputi kawasan yang sangat luas. Kawasan hutan amat memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanah sebagai komponen yang akan menyokong pertumbuhan, kematangan dan seterusnya pembiakan hutan dengan baik.


2.1 Pembalakan.
Hutan Negara kita kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok cengal, pokok meranti, pokok merbau, pokok resak dan pokok keranji. Pokok-pokok ini dikategorikan sebagai pokok kayu balak. Sumber kayu-kayan hutan hujan tropika di Malaysia kaya dengan taburan berbagai spesies pokok-pokok balak komersial negara seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi. Ini menjamin bekalan sumber kayu-kayan di negara kita untuk tujuan kegunaan tempatan mahupun untuk dieksportkan. Selain itu, kepelbagaian flora dan spesies kayu-kayan telah membolehkan industri yang berasaskan kayu untuk menggunakan spesies-spesies kayu dijalankan secara lebih meluas.

2.2 Eko-Pelancongan.

Eko-pelancongan memang merupakan salah satu produk yang berdaya saing bagi industri pelancongan di pasaran global. Ini dapat dibuktikan lagi dengan sumbangannya sebayak 5% dalam pendapatan dalam sektor pelancongan negara kita. Bagi memelihara sumber alam semulajadi dan kekayaan warisan budaya yang menjadi teras bagi produk-produk eko-pelancongan. Keperluan untuk rekreasi hutan mula dirasai sejak tahun 1967, akibat daripada peningkatan ekonomi dan kepesatan pembangunan negara yang membuatkan warga kota memerlukan kawasan-kawasan untuk beriadah bagi mengelakkan dari tekanan dan kesibukan harian. Untuk memenuhi permintaan ini Jabatan Perhutanan mula membangunkan kawasan-kawasan hutan sebagai kawasan-kawasan rekreasi dengan mengadakan kemudahan-kemudahan asas kepada pengunjung seperti perkelahan, perkhemahan, merentas hutan dan berenang.

2.3 Perubatan.

Hutan juga adalah gedung penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Secara anggarannya, satu perempat daripada prekripsi dadah adalah bersumber daripada tumbuhan yang terdapat di hutan hujan tropika. Ini telah meningkatkan kegunaan tumbuhan tempatan terutamanya dari hutan dalam bidang perubatan. Contohnya ubat anti-Malaria dan kuinin. Kebanyakan daripada tumbuh-tumbuhan hutan hujan tropika mengandungi nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Biasanya ia dapat mengubati penyakit yang akan membawa kepada maut seperti penyakit kuning. Misalnya dalam kegunaan perubatan tradisional, masyarakat Melayu meminum air rebusan Tongkat Ali ( Eurycoma longifolia dan E.apiculata ) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ali bagi mengubati demam cacar (smallpox ) manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan deman malaria . Di antara spesies-spesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatannya termasuklah daripada jenis selusuh Fatimah / kacik Fatimah ( Labisia sp. ), mempisang (Goniothalamus sp.) dan medang ( Cinnamomum sp.). Bunga pakma (Rafflesia hasselti ) pula dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di pasaran.

2.4 Sumber Bahan Mentah.
Hutan adalah sebagai sumber bahan mentah . Hutan merupakan tempat asal bagi kebanyakan tanaman makanan manusia dan haiwan. Makanan yang kita guna seharian adalah berasal dari hutan hujan tropika. Antaranya termasuklah kopi, buah-buahan dan rempah. Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti manggis ( Garcinia mangostana ) dan rambutan ( Hephelium lappaceum ). Selain itu, buah-buahan seperti limau, pisang , betik, mangga dan nanas secara asalnya adalah berasal dari hutan hujan tropika. Tumbuh-tumbuhan seperti halia, lada hitam, vanila, cengkih, kayu manis, buah pala dan lada juga tumbuh secara liar di hutan hujan tropika pada mulanya .

2.5 Sumber keluaran hasil hutan bukan kayu.
Hutan juga adalah penting sebagai sumber keluaran hasil hutan bukan kayu yang mempunyai kegunaan yang berlainan. Ia termasuklah rotan, buluh, mengkuang dan pandan, tumbuh-tumbuhan pewarna, damar dan lain-lain.
Rotan adalah hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia. Ia telah menjadi satu perusahaan yang penting yang tertumpu di kawasan luar bandar. Ia lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan dan melibatkan aktiviti mengeksport barangan rotan separa proses dan siap. Manau ( Calamus manan ) adalah rotan yang paling popular diperdagangkan dan berharga tinggi.

2.6 Menyediakan Peluang Pekerjaan

Untuk mendapatkan hasil-hasil hutan yang telah dibincangkan di atas, berbagai kerja dan proses telah dilakukan. Secara tidak langsung hutan adalah majikan yang penting bagi negara kita. Melati Mohd Arif (2007), melaporkan bahawa sehingga bulan Mac 2007, industri perkayuan di negeri Sarawak sahaja telah memberi pekerjaan kepada 92 360 orang penduduk kira-kira 40% daripada keseluruhan 229 572 orang pekerja di negeri tersebut.



Ditulis oleh Nur Syazwani Bt. 'Aziz





No comments:

Post a Comment