Sunday 25 March 2012

MAMA... AisHitErU

Panggilan telefon petang itu betul-betul terjadi.. bukannya mimpi.. Kesannya hingga ke hari ini.. "mak jatuh dalam bilik air" Itulah intipati yg diucapkan oleh kakakku..

Aku bergegas keluar dari pejabat untuk pulang. Kebetulan hari itu pula aku tak memandu ke pejabat kerana pagi dah agak terlewat. Suamiku yang menghantar supaya jimat masa aku untuk parking dek kerana terlewat tadi.. Makanya pulang petang itu juga perlu dijemput suami. Sambil menunggu di lobi bawah hati aku memang tak tenteram.. Suami telah ku maklumkan sedari tadi tapi aku akur masa untuk dia menyeberang dari tanah besar ke pulau menjemputku bukan singkat. Hati berbelah bagi .. perlukah aku risau yang terlampau?? Terukkah keadaan mak atau sekadar jatuh biasa sahaja?? Aku telefon kakak dan abang yang lain untuk memaklumkan apa yang berlaku. Masih lagi ada masa terluang..suami belum tiba jua. Lama sungguh kurasakan tibanya suamiku dari tanah besar. Tiba-tiba terdetik di hati apa kata aku telefon mak sendiri di kampong, sekurang-kurangnya aku tahu keadaan sebenar mak. Mak jawab telefon seolah-olah tak ada apa yang berlaku.. Aku terkejut besar tatkala mendengar suaranya di corong sebelah sana. "mak rasa kaki mak ni patah sebab mak tak boleh bergerak langsung" itu yang ku ingat. Serta merta aku suruh dia meletakkan telefon. Biar ku dapatkan kepastian daripada kakak iparku yang juga seorang jururawat.. Betul kah mak patah ?? Dia juga seperti aku yang sah-sah bukan seorang jururawat. Tidak salah jika seorang jururawat tidak dapat membuat kesimpulan hanya berdasarkan keterangan mengenai kejadian tanpa melihat dengan mata kepalanya sendiri.. hampa. Sempat juga aku menelefon suami lagi.. "takkan mak patah.. kalau patah sakitnya yang amat sangat" itu respon suami yang melegakan aku sedikit sahaja.

Setibanya suamiku kami terus bergegas memandu lebih 100 kilometer ke bahagian kecemasan hospital. Di sana bapa dan dua orang kakakku sudah menunggu. Sempat kami berbual seketika menantikan mak yang masih diperiksa dan khabarnya sedang di x-ray. Seketika kemudian kami dibenarkan masuk melihat mak tapi hanya seorang pada satu masa sebab mak masih lagi di wad kecemasan. Aku lihat dari jauh mak terbaring tenang. Masih mampu berbual dan bercerita bagaimana dia terjatuh. Rupa-rupanya mak jatuh di dalam bilik air tengahari dan terus tak boleh bangun dan bergerak. Tak ada sesiapa di rumah kecuali dia dan bapaku. Bapaku pula ketika itu sedang tidur.. jenuh mak memanggil .. hampir sejam dia terduduk di dalam bilik air tanpa boleh bergerak langsung menunggu bapa sedar dari tidurnya yang lena sungguh tengah hari itu. Akhirnya bapa bangun juga untuk berwuduk barulah disedari isterinya ditimpa malang lalu bergegas memaklumkan kepada kakakku. Ambulan terpaksa dipanggil kerana mak tidak boleh bergerak langsung kesakitan.. kasihan mak..

Seketika kemudian kami dimaklumkan memang mak mengalami patah tulang pinggul. Perasaan ku sukar untuk digambarkan tatkala mendengar berita itu. Sah.. mak memang patah.. kasihan mak .. hanya kasihan yang aku mampu .. Mak perlu dibedah untuk menggantikan tulang yang patah dengan "tulang besi" ciptaan manusia tapi segalanya bergantung kepada kestabilan mak. Tekanan darahnnya, jantungnya, paru-parunya.. ditambah pula dengan faktor umur mak yang sudah lanjut 74 tahun segalanya agak membimbangkan. Hanya doa yang mengiringi..

Pembedahan dijadualkan 7 hari lagi.. lamanya kurasakan tempoh itu. Seksa aku melihat kaki mak diikat dan digantung dengan pemberat daripada botol air 15 paun untuk mengurangkan sakitnya. Perlukah di usia emasnya mak menanggung kesakitan yang begini tapi sebagai seorang muslim aku akur dan redha ketentuan Ilahi.. Pasti ada hikmahnya disebalik keperitan ini. Mungkin Dia nak menyuci dosa mak kerana apabila Dia menurunkan sakit dan kita redha kepadanya maka diampunkan dosa-dosa.. Kami dimaklumkan bahawa kebenaran untuk pembedahan ini dikategorikan sebagai "high risk consent" atau berisiko tinggi disebabkan faktor usia mak yang dah lanjut ditambah pula keadaan jantungnya yang sedikit lemah. Aku tak pasti sejak bila mak mula ada masalah jantung tapi menurut doktor bacaan jantung mak rendah daripada orang biasa. Mungkin organ 74 tahun sudah mula menampakkan tanda-tandanya..

Hari berganti hari.. Menanti hari pembedahan sambil berdoa semuanya berjalan lancar. Paling penting keadaan mak sendiri. Akhirnya hari yang dinanti tiba juga dalam kepayahan mengharungi hari-hari sebelumnya. Paling terasa setiap kali muka mak berkerut menahan kesakitan. Mak yang aku kenal bukanlah orang yang mudah mengadu sakit tapi apabila jelas kerutan di wajahnya aku pasti dia sedang menahan sakit yang teramat sangat. Sabar mak, bacalah apa-apa doa yang mak teringat atau terlintas di kepala.. semoga sakit ini membawa keberkatan kepada mak.

Malam sebelum pembedahan mak tak tidur lena asyik beralih membetulkan kedudukannya. Mungkin resah, mungkin risau. Aku yang menemankan mak malam itu juga tak tidur lena sebenarnya hanya mataku yang pejam tapi fikiran sesekali menerawang entah ke mana. Bermacam perkara yang aku fikirkan.. Jika diletak diriku di tempat mak belum tentu aku sanggup menghadapi dugaaan ini setabah hati tua mak. Mungkin aku akan meraung kesakitan setiap kali jururawat membetulkan kedudukan kaki yang mengalami patah pinggang .. tak seperti mak yang hanya mengerutkan wajah dan merintih perlahan. Malam itu sesekali mak memanggil minta itu ini..

Akhirnya pagi keramat itu tiba juga.. Jururawat menyiapkan mak untuk pembedahan seawal jam 6 pagi. Gigi palsu mak ditanggalkan. Terserlah ketuaan wajah seorang mak yang sudah puas melalui liku-liku kehidupan dunia, pelbagai onak duri kesengsaraan. Ketika bantal yang menjadi pelapik kakinya selama ini ditarik keluar dan diganti dengan pelapik pembedahan mak merintih kesakitan. Aku hanya mampu duduk di satu sudut memegang buku pilihan doa-doa yang menjadi temanku semenjak mak dimasukkan ke hospital dan membaca apa yang termampu. Semoga mak mendapat fadilatnya, semoga mak dikurangkan sakitnya, semoga mak selamat menjalani pembedahan berisiko tinggi ini, semoga mak masih ada bersama kami selepas ini, semoga kami masih boleh membalas jasa mak.. semoga itu semoga ini… Ya Allah hanya kepada Mu kami serahkan.. sayup-sayup aku masih dengar suara mak merintih sakit sambil sesekali dia bersuara bertanyakan berapa lama kah lagi sebelum tiba masa pembedahan. Mungkin kesakitan yang dialami mengatasi ketakutan menjalani pembedahan. Ketika mak disorong ke bilik pembedahan, aku cuba sedaya upaya menahan air mata tapi ia mengalir jua. Hanya doa mengiringi mak.

Penantian kira-kira 5 jam berakhir jua. Mak disorong keluar dalam keadaan separuh sedar.. ubat bius masih ada. Mak.. kasihan mak.. Hanya satu perkataan yang aku pasti mak sebut.. "sakittt". Sabar mak, zikir, baca apa-apa doa yang mak teringat.. Sakit ini dari Allah, Dia yang akan menyembuhkan.. Aku difahamkan mak boleh mengawal kesakitannya kerana masih dalam ubat bius. Hanya doa yang ku panjatkan. Malam tu aku terpaksa balik kerana perlu bekerja keesokan harinya. Mak aku tinggalkan dalam jagaan kakak iparku. Dialah yang terbaik untuk menjaga mak dalam keadaan ini kerana bidang kerjayanya bakal memudahkan segala. Terima kasih kami ucapkan, jasa dan budimu akan kami kenang. Keesokan harinya, ketika aku menelefon bertanyakan khabar mak, dari corong sebelah sana telefon aku dapat berita mak mengalami sakit yang teramat sangat, ubat biusnya sudah hilang kesan, mak menggelupur kesakitan, meracau-racau tidak tentu arah, membaling bajunya dan pelbagai tindakan pelik yang hanya mendefinisikan satu perkataan .. sakit !!!!! Hanya jasad ku berada jauh lebih 100 kilometer daripada mak tapi jiwaku merasa sakitnya mak..

Kedaan mak selepas pembedahan lebih baik daripada sebelum pembedahan dari satu segi. Patah tulang pinggulnya telah dirawati, telah diganti dengan ‘tulang besi’. Hebat sungguh teknologi ciptaan manusia. Tulang ciptaan Allah mampu digantikan.. aku akur hanya dengan izin Mu ya Allah semua ini mampu direalisasikan. Kami hanyalah beraksi di pentas sementara Mu ini juga dengan izin Mu..saksikanlah lakonan kami ya Allah selama yang Kau tetapkan untuk kami beraksi..

Hari ni sudah 15 hari berlalu.. mak bukan lagi mak yang dulu yang cergas ke sana kemari, buat itu, buat ini.. mengemas laman, mencabut rumput-rumput liar di laman, mengawasi kesegaran pokok-pokok bunganya dalam pasu yang tersusun kemas di sekitar laman, memanjat tangga atau paling tidak bangku mengelap tingkap cermin yang berhabuk, mak yang tak pernah ketinggalan ke surau setiap malam untuk berjemaah, ke sana sini bergerak aktif dan itu dan ini dan itu dan ini.. Mak kini hanya terbaring lesu, tidak mampu bergerak sendiri. Kaki mak sebelah belakang paha yang dibedah sakit sungguh nampaknya. Kencing berak mak bukan lagi sendiri, kencing berak mak kini dibantu dan hanya di dalam besen yang diletakkan di atas kerusi rodanya. Mak kini kencing dan berak di kerusi roda?? Pelik bunyinya untuk seorang mak yang aku kenal. Tapi inilah ketentuan Ilahi. Nasib mak setakat ini. Apakah nasib kita, nasib aku ??? Tak tahu lagi tapi inilah nasib mak di usianya 74 tahun. Aku lihat mak seperti patah semangat, semangat jiwa kentalnya seperti direnggut. Mak fikir jauh agaknya.. Mungkin mak membayangkan dia takkan mampu berjalan lagi sampai bila-bila. Itu yang mungkin menghilangkan selera makan mak sehingga setiap kali makan hanya 2 sudu. Mak, itulah juga persoalan yang bersarang dalam hatiku tapi hanya doa yang aku termampu..semua ini kerja Dia..

Anak-anak mak yang ramai ni dah mula meluahkan reaksi masing-masing dengan perkembangan mak. "mak tak ada inisiatif diri nak bangun dan berlatih sendiri, hanya harapkan bantuan orang sahaja" "kalau macam ni sampai bila pun tak boleh berjalan" "asyik berbaring saja, berjalan tak mahu langsung" kalaulah mak tahu.. kalaulah mak dengar tentu mak sedih. Perut mak tidak saja-saja memboyot sembilan kali untuk melahirkan insan yang melahirkan kata-kata seperti ini. Aku juga bukanlah malaikat yang sempurna, suci daripada sebarang dosa, aku hanyalah insan biasa yang di benak hatiku sesekali terdetik juga persoalan adakah benarkah kata-kata itu?? Benarkah mak tak berinisiatif ?? Atau wahai anak-anakku, emak mu ini memang tidak mampu walaupun hanya untuk menggerakkkan kaki. Aku jadi insaf bila mengenangkan mak yang tak pernah memijak tangga sekolah dek kerana kemiskinan mana kan faham perkataan inisiatif. Berat perkataan ini untuk dilemparkan kepada mak rasanya. Lantas terserlah lah kebenaran kata pujangga "seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak belum tentu mampu mejaga seorang ibu" Alhamdulillah .. Tuhan beri peluang kepadaku untuk melihat semua ini didepan mata, bukan sekadar mendengar atau terbaca di mana-mana. Di manakah peranan aku ?? Mak, maafkan aku, aku teralpa dengan hukum dunia.. lakonan dunia.. cerita kerjayaku yang kehabisan cuti tahunan. Itulah alasanku mak mengapa aku tak dapat mengambil cuti untuk menjaga mak. Tapi mak, insyallah aku akan balik setiap minggu untuk menjaga mak, menguruskan sedaya yang aku mampu. Maafkan aku mak, aku terikat dengan peraturan dunia.

Di saat ini di ketika ini aku masih memikirkan tentang mak, mak, mak, dan mak. Ya Allah hanya pada Mu kupanjatkan doa.. Adakah apa yang Engkau bentang dan hidangkan kepada kami ini satu lautan pahala untuk kami kaut ya Allah.. Adakah Engkau sedang memberkati kami dengan peluang membalas jasa seorang ibu ya Allah ?? Ya Allah adakah Engkau sedang meletakkan kami di persimpangan pahala dan dosa di mana Engkau tinggaIkan kami untuk memilih simpang sendiri ?? Ya Allah … gerunnya aku dengan ujian Mu. Luluskanlah aku Ya Allah..

Kalau menikut kata doktor pesakit kes macam mak selepas tiga hari sudah mampu berjalan.. memang tidak seperti sebelum dia jatuh sakit tapi sudah sepatutnya mampu berdiri dan berjalan sendiri menggunakan tongkat. Kesakitan memang tak boleh dielakkan tapi untuk kebaikan jangka masa panjang sebelum urat dan otot menjadi keras sehingga lebih menyukarkan keadaan, lebih baiklah mak sakit sekarang daripada mak langsung tak boleh bergerak nanti.. Mak sebenarnya boleh.. Memang perkataan sakit tak pernah lekang dari bibir tua mak tapi mak juga memberikan kerjasama yang baik apabila diajak melakukan pergerakan seperti bangun berjalan, duduk, menggerakkan kaki, jari jemari kaki bagi memastikan pengaliran darah dan mengecas kembali organ-organnya yang dah berehat melebihi dua minggu ini.

Walaupun di malam hari nya akan kedengaran rungutan mak mengenai kesakitan yang dia perlu tanggung kerana anak-anak yang menyuruh dia melakukan aktiviti itu ini. Kerana anak inilah aku aku sakit urat belikat, kerana anak itulah aku sakit kaki, anak sinunlah yang suruh aku duduk atas kerusi roda dan itulah dan inilah.. Mak hari ini bukan mak yang biasa. Segalanya serba tak kena, semuanya serba tak betul. Ya Allah, inikah dugaan Mu kepada kami ?? Patutkah aku ikut kata amarahku dengan karenah mak dengan menganggap mak ini mak yang biasa yang dah aku kenali sepanjang hidup aku yang tiba-tiba berubah perangainya atau mak ini mak yang lain, mak yang patah hatinya, patah semangatnya, luruh kentalnya.. Ya Allah pandulah aku agar pahala yang Kau bentangkan tidak aku mengutip dosa darinya.

Jauh di sudut hatiku aku menadah tangan kepada Yang Maha Esa.. Ya Allah aku redha dengan dugaan yang Engkau berikan ini tapi aku memohon kepadamu Ya Allah, kuatkanlah hatiku menempuhnya.. sembuhkanlah ibuku, hilangkanlah sakitnya, pulihkanlah dia seperti biasa, berikanlah aku kesempatan untuk bersamanya lagi dan membalas jasanya… berilah kegembiraan dan sejahtera kepadanya amin amin ya rabbal alamin…..

NURIN ZAKIRA AZHAR

No comments:

Post a Comment