Friday 23 March 2012

Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman




Deli tua negerinya itu ,
 Kotanya kukuh berpagar batu ,
Pasarnya ramai bukan suatu , 
Tiada berbanding di zaman itu .


Baginda berputera tiga orang jua , 
Laki - laki konon putera yang tua ,
Puteri cantik putera kedua , 
Parasnya elok jarang tersua .


Putera yang bongsu laki - laki jua ,
Parasnya elok tidaklah tua , 
Menarik hati orang semua , 
Dikasihi rakyat muda dan tua .


Adapun akan dulu baginda ,
Isterinya lama sudah tiada , 
Banyak dicari gadis dan janda ,
Hati baginda penuju tiada .


Beberapa lama demikian itu , 
Di atas takhta konon sang ratu , 
Dengan kehendak Tuhan yang satu ,
Baginda pun gering suatu waktu .


Baginda nan gering bukan kepalang ,
Badannya kurus tinggallah tulang , 
Tabib pun selalu datang berulang ,
Mengubati baginda raja terbilang .


Tabib berusaha bersungguh hati , 
Menolong baginda raja berbakti , 
Sudahlah takdir Rabbulizzati ,
Penyakit tak dapat diubati lagi .


Pertolongan tabib tiada faedah ,
Semakin payah sultan yang syahdah ,
Ajal baginda hampirlah sudah , 
Ke negeri yang baqa akan berpindah .


Dengan hal yang demikian itu ,
Penyakit menggoda setiap waktu , 
Ubat pun tiada dapat membantu ,
Baginda pun mangkat ketikla itu .


Baginda berpulang ke rahmatullah ,
Takhta kebesaran semua tinggallah ,
Harta dunia sudah terjumlah ,
Kepada yang lain diberikan Allah .






'Anwar Ridhwan dan Rahman Shaari '


Write by Fatin Shahira Bt. Zulkifli

No comments:

Post a Comment